Ahad, 11 Disember 2011

Alat Permainan Antara Medium Memperkenalkan Kata Adjektif



Kanak-kanak memang gemar akan alat permainan.Kita boleh juga menggunakan alat permainan sebagai salah satu bahan bantu mengajar tatabahasa khususnya Kata Adjektif.Sebagai contoh ,koleksi alat permainan ini sudah pastinya akan membuatkan kanak-kanak (murid Tahap 1)sekolah rendah teruja dan akan mula mengeluarkan idea yang kita juga tidak terduga! Cubalah..menggunakan teknik soal jawab,sumbangsaran juga amat membantu.Antara soalan yang boleh dikemukakan oleh para guru ialah :-
a) Cuba kalian nyatakan sifat-sifat yang ada padanya?
b) Apakah warna serta bentuk-bentuk yang ia miliki?
c) Nyatakan kata adjektif yang ia miliki serta kategorikan.

Jumaat, 9 Disember 2011

Rakaman Makro Cikgu Rohani



Ini pula merupakan rakaman pengajaran makro KPD3026 yang telah saya rakam bertempat di Tahun Satu Sek.Keb.Betong,Hulu Terengganu,Terengganu Darul Iman.

Selasa, 6 Disember 2011

PEMBINAAN WARGA,PATRIOTISME DAN JATI DIRI

PEMBINAAN WARGA
Warganegara yang baik adalah warganegara yang peka kepada tuntutan semangat patriotisme & ideologi negara, mencintai tanah air, berdisiplin, menyahut seruan dan menyokong cita-cita negara serta memahami, menghayati dan mengamalkan nilai-nilai murni.

Menurut Tun Salleh Abbas, Rukun Negara tidak mengenakan kewajipan
yang lebih dan tidak memberikan hak yang lebih berbanding dengan apa
yang terkandung dalam perlembagaan. Jadi usaha untuk mematuhi Rukun
Negara tidak lebih daripada usaha untuk mematuhi perlembagaan. Warganegara patut menghormati hak dan tanggungjawab, adat, kebiasaan
dan budaya masing-masing.

Rukun Negara merupakan pasport ke arah pencapaian bukan sahaja kehidupan bersama berbagai-bagai bangsa tetapi percampuran pelbagai bangsa secara harmoni.

Kata-kata Allayarham Tun Abdul Razak, kerajaan akan berbuat apa sahaja bagi menggalakkan perpaduan negara, supaya tidak sesiapa pun akan mengalami apa-apa kehilangan atau merasa penafian hak, keistimewaan, pekerjaan serta peluang.

Kata-kata YAB Dato’ Seri Abdullah Haji Ahmad Badawi, setiap warganegara haruslah aktif berperanan dalam pembangunan.Beliau juga menekankan soal pembangunan modal insan “Human Capital Development” dalam membina tamadun manusia kerana beliau memahami hakikat bahawa insan-insan kamil merupakan aset ke arah pembentukan sebuah tamadun yang cemerlang, gemilang dan terbilang.

Beliau tidak mahu bangsa Melayu dan umat islam terus dikuasai oleh mentaliti pemikiran kelas ke-3 sedangkan Malaysia memiliki prasarana yang bertahap dunia.Beliau juga telah menggariskan wawasannya untuk melahirkan umat Melayu yang beragama Islam, memiliki keperibadian sebagaimana yang dimiliki oleh para sahabat Rasulullah S.A.W di awal kebangkitan Islam pada abad ke-7 dahulu.

Rasulullah S.A.W sendiri pernah menyatakan misi kerasulannya yang
bermaksud:” Sesungguhnya aku diutus untuk menyempurnakan akhlak yang
mulia”.

Justeru, di peringkat awal penyebaran Islam, Nabi Muhammad S.A.W telah menjalankan satu pendekatan tarbiyah bagi memperkukuhkan asas-asas pembinaan insan menerusi pembinaan iman, akhlak dan amal agar sikap ini sebati dengan diri umat Islam.

Teraju utama Negara kita adalah membina harapan untuk mengubah
minda Orang Melayu dalam menghadapi cabaran persaingan sejagat.

DEFINISI PATRIOTISME
Mengikut beberapa kamus dan ensaiklopedia Melayu dan Inggeris, patriotisme bolehlah didefinisikan sebagai``Perasaan cinta yang kuat terhadap tanah air.'' Semangat cinta tanah air dan sikap bersedia mengorbankan apa sahaja untuk kejayaan dan kemakmuran negara”.
Menurut ahli cendiakawan pula patriotisme merupakan sesuatu yang abstrak yang lahir daripada nilai-nilai cinta, kasih, sayang dan kesetiaan kepada nusa dan bangsa. Ia merupakan semangat yang universal, bebas daripada elemen perkauman dan sanggup berkorban nyawa demi mempertahankan maruah tanahair tercinta.
Oleh itu, patriotisme bolehlah ditakrifkan sebagai semangat perjuangan dan pengorbanan yang berasaskan nilai-nilai cinta, kasih, sayang, kesetiaan, kebanggaan, keikhlasan, kesanggupan, kesungguhan dan komitmen seseorang manusia kepada agama, bangsa dan negaranya.

UNSUR-UNSUR PATRIOTISME
Patriotisme di zaman datuk nenek moyang kita lebih dizahirkan melalui semangat juang dan keberanian dalam menghadapi musuh dan apa jua cabaran yang mengancam kedaulatan bnagsa dan tanahair disamping memperjuangkan kebebasan dari cengkaman penjajah yang diertikan sebagai sebuah kemerdekaan. Selepas itu generasi yang lahir selepas merdeka fokus patriotismenya ialah mengisi kemerdekaan. Bagi yang melalui zaman konfrontasi, fokusnya ialah mempertahankan kedaulatan Malaysia yang baru dibentuk. Tragedi 13 Mei 1969, yang berlaku menuntut semanta patriotisme dari segi fokusnya perpaduan rakyat manakala pada masa kegawatan ekonomi pula, fokusnya ialah mempertahankan kedaulatan ekonomi negara.
Setelah negara menjangkau berpuluh tahun kemerdekaan, persepsi terhadap patriotisme bukan sahaja mengorbankan nyawa dan darah malah menuntut kepimpinan yang berjiwa rakyat, bertungkus-lumus memajukan negara untuk mencapai taraf dunia dan sentiasa memperjuangkan keselamatan tanah air dan kesejahteraan ummah.
Terdapat juga warganegara Malaysia yang menzahirkan semangat patriotismenya melalui kejayaan mencipta rekod dan menempa nama Malaysia di pentas dunia. Demi nama Malaysia, mereka sanggup menyahut cabaran merentas lautan belayar mengelilingi dunia secara solo, berenang menyeberangi Selat Inggeris dalam tempoh yang tersingkat, memacak dan mengibarkan Jalur Gemilang di puncak Gunung Everest, dan menawan Kutub Utara walaupun menyedari bahaya dan risiko yang menanti. Dan yang paling tidak mungkin dilupakan kejayaan Dato Syeikh Muzafar membawa nama Malaysia dan mencipta sejarah sebagai angkasawan pertama dari Asia tenggara.
Apabila ditinjau dari sudut pandangan Islam pula, sifat patriotisme juga mempunyai hubung kait yang rapat dengan sifat cintakan negara dan tanah air. Rasulullah s.a.w. pernah menyatakan di dalam sebuah hadis yang membawa maksud: ”Cinta kepada negara adalah sebahagian daripada iman”.
Ini amat jelas sekali daripada ayat 60 Surah al-Anfal yang membawa maksud: ”Hendaklah kamu bersiap sedia dengan sebaik mungkin dengan sekadar tenagamu, kekuatan dan kuda yang terpaut, dengan demikian kamu menakuti musuh Allah dan musuhmu…”
Ayat ini dengan jelas memfokuskan kepada usaha mempertahankan diri dan negara daripada serangan musuh. Dalam erti kata lain, Islam menggalakkan umatnya mengamalkan sikap patriotik di dalam diri masing-masing.

KEPENTINGAN PATRIOTISME
Tun Dr. Mahathir Mohamed pernah mengingatkan, “tanpa semangat ini, kita tidak boleh yakin kita dapat bertahan, kita dapat kekalkan hak kita. Kemungkinannya ialah kita akan tinggal nama dalam sejarah saja”.
Patriotisme penting kepada Malaysia. Ia menjadi satu daripada prasyarat pembentukan bangsa dan pengukuhan ketahanan nasional. Apabila seseorang warga itu mempunyai semangat patriotisme, dengan sendirinya cinta dan kasih yang tulus abadi terhadap negara menjadi benteng dan perisai dalam menangkis seluruh elemen dalaman dan luaran yang boleh mengancam agama, melumpuhkan bangsa dan meruntuhkan negara.

Patriotisme memainkan peranan penting dalam membentuk kemuliaan agama, keunggulan jati diri, kemantapan budaya, keteguhan perpaduan antara kaum,politik bersih, semangat perjuangan yang tekal dan masa depan yang cerah.

PERANAN GURU DALAM MENYUBURKAN PATRIOTISME DIKALANGAN MURID.

Peranan guru tidak hanya menyediakan pelajar dengan ilmu dan kemahiran untuk dihafal atau diluahkan dalam peperiksaan, tetapi juga bertanggungjawab membentuk sahsiah serta akhlak mulia di kalangan mereka. Guru tidak harus menjadi penyampai ilmu semata-mata, sebaliknya perlu turut membentuk jiwa dan nilai yang murni.

Dalam menyuburkan nilai-nilai patriotisme dalam diri pelajar, guru boleh menggunakan elemen sejarah sebagai medium. Hakikatnya manusia mudah lupa pada sejarah.Memang benar dari segi fizikalnya kita telah bebas dari penjajahan, namun bangsa Malaysia pada hari ini berhadapan dengan musuh yang menjelma dalam pelbagai bentuk dan rupa. Kita sebenarnya telah berasa selesa dan enak dibuai mimpi. Namun jangan kita lupa kelekaan ini memberi peluang pada musuh negara menyerang secara senyap. Ibarat gunting dalam lipatan. Guru harus menyedarkan pelajar mengenai keperitan dan perjuangan hidup dalam membebaskan tanahair dari cengkaman penjajah.
Selain itu guru boleh membimbing murid mengenal diri dan mencintai warisan bangsa dan negara memupuk perasaan cinta dan bangga terhadap agama, bangsa dan negara, bersemangat kekitaan, berdisiplin dan hidup bermasyarakat dan harmonis, memahami dan menghargai usaha-usaha negara dalam pembangunan dan kemajuan, membina dan mengembangkan kefahaman, kesedaran dan kepekaan terhadap isu-isu dalam masyarakat serta berupaya untuk bertindak dengan sewajarnya; dan bersemangat ingin berusaha dan melibatkan diri secara aktif dan produktif untuk kemajuan bangsa dan negara.

JATI DIRI
Jati diri ialah unsur-unsur kehidupan yang mencerminkan lahiriah individu atau masyarakat, contohnya kebolehan berniaga pada kaum Cina adalah salah satu sikap jati diri. Dalam pengertian lain jati diri ialah identiti individu, masyarakat dan Negara bangsa yang mempunyai sifat-sifat keutuhan yang dibanggakan. Jati diri juga merujuk kepada keteguhan hati dan kekuatan jiwa seseorang. Jati diri dibangunkan dengan ilmu dan didikan agama yang kukuh. Dengan ilmu yang kita perolehi pula, kita boleh menjana masyarakat kita. Satu bangsa yang hebat mempunyai jati diri yang tinggi, sanggup berjuang, rajin bekerja, sentiasa mementingkan kualiti kerja, sanggup menghadapi cabaran, ingin mencuba, tidak mudah patah hati, memahami dan menghayati ciri-ciri negaranya yang unik.

Jati diri amat penting dalam diri seseorang untuk membolehkannya menjalani kehidupan yang bahagia dan mencapai kejayaan yang lebih bermakna. Sekiranya jati diri atau ketahanan diri ini tidak ada pada diri individu, maka pelbagai sifat yang negatif akan mempengaruhinya dengan mudah. Kerapuhan jati diri inilah yang sering menjadikan individu itu tamak dalam mengejar kejayaan dan kemewahan dunia tanpa memikirkan kesan perbuatannya kepada diri sendiri dan orang lain. Inilah antara sebab mengapa sesetengah individu sanggup disogok rasuah, meyebarkan fitnah, berdendam, mempunyai hasad dengki, mudah hilang sabar, terjebak dalam penagihan dadah, penyeludupan, jenayah dan sebagainya.

Malaysia memerlukan para guru yang memiliki sifat jati diri. Di samping itu, kita perlu sedar sesuatu bangsa itu tidak akan dimartabatkan di mata dunia tanpa memiliki sebuah negara merdeka. Jati diri adalah merupakan perisai utama untuk mengekalkan kemerdekaan sesebuah negara dari semua aspek khasnya penjajahan minda. Jati diri boleh mempengaruhi perkembangan politik, ekonomi dan sosial. Oleh yang demikian kemajuan dan kemunduran sesebuah negara berkait rapat dengan jati diri. Sekaligus anda sebagai guru memainkan peranan utama dalam usaha membentuk jati diri di kalangan generasi akan datang.

Warganegara yang memiliki jati diri adalah rakyat malaysia yang dapat memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran keluarga serta masyarakat. Antara sumbangannya ialah memupuk keharmonian keluarga, bersemangat patriotik dan mengamalkan prinsip-prinsip Rukunegara, mematuhi, mengekalkan dan mempertahankan kestabilan negara, memupuk perpaduan melalui semangat kerjasama, berbakti, toleransi, kekitaan dan hormat- menghormati. Sains dan teknologi juga harus digunakan untuk memajukan ekonomi ke arah perkembangan bangsa dan negara.

Terdapat beberapa implikasi terhadap sesebuah negara jika rakyatnya tidak memiliki jati diri. Antaranya ialah akan berlaku keruntuhan sosial akibat terlalu ghairah meniru segala yang datang dari Barat. Selain daripada itu, kemerosotan ekonomi juga akan terjadi akibat terlalu mengagungkan barangan luar negara. Terdapat juga ruang dan peluang kepada amalan politik yang kurang sihat serta maruah dan martabat Negara akan tergadai serta berlakunya penjajahan minda yang mengganggu gugat kedaulatan Negara.

Tahap jati diri rakyat Malaysia secara umumnya masih rendah. Ini dapat diperhatikan dengan melihat cara hidup segelintir masyarakat Malaysia yang begitu mengutamakan harta dan kekayaan sehingga lupa akan budaya bangsa Malaysia. Ramai yang mengabaikan aspek kerohanian dalam mengejar cita-cita. Maka tidak hairanlah, sesetengah individu bersikap bongkak dan sombong setelah mendapat pangkat tertentu atau menjawat jawatan tinggi. Sukar untuk kita melihat individu yang masih mengikut resmi padi,”semakin berisi, semakin tunduk”. Bagi individu yang memiliki harta dan kekayaan pula, sesetengahnya begitu megah dan bakhil.

Bagi yang miskin pula, mereka tanpa segan silu meminta-minta dan mengharapkan sedekah walaupun mereka sihat dan mampu bekerja. Sesetengahnya pula mencuri, meragut dan sanggup membunuh demi mendapatkan wang untuk dadah, berjudi, minum arak, berpesta dan sebagainya. Bagi remaja masa kini, tahap jati diri begitu rapuh sehingga ramai remaja yang terlibat dalam masalah sosial seperti penagihan dadah, pelacuran, sindiket cetak rompak, buang bayi, budaya samseng dan sebagainya. Mereka sanggup melanggar ajaran agama dan membelakangkan ibu bapa. Apabila kesusahan dan bala tiba, mereka pula yang tidak sanggup menerimanya dan tidak redha sedangkan masalah remaja masa kini berpunca dari mereka sendiri. Inilah antara masalah-masalah masyarakat yang menunjukkan ketahanan diri atau jati diri masih lemah. Tidak hairanlah perpaduan sukar untuk dipertahankan kerana masing-masing hidup mementingkan diri sendiri.

Untuk mencapai keharmonian dan kemakmuran keluarga serta masyarakat secara keseluruhannya, maka setiap individu perlu memiliki jati diri agar setiap individu dapat hidup dalam suasana yang harmoni dan memupuk perpaduan melalui semangat kerjasama, berbakti, toleransi, kekitaan dan hormat-menghormati. Tanggungjawab guru sebagai arkitek pembangunan Negara bangsa bukanlah mudah. Ia memerlukan ilmu, kemahiran dan kesungguhan dalam amalan. Guru juga perlu menjadi role model dalam melahirkan Warganegara yang cintakan Negara, patriotik, patuh kepada Perlembagaan dan taat setia kepada Negara serta bangga menjadi rakyat Malaysia.



BIBLIOGRAFI
http://www.utusan.com.my/utusan/archive.asp?y=2005&dt=0829&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana&pg=re_02.htm
www.ypkdt.org.my/ypkdt/articles.php?id
http://rampaiseri.wordpress.com/2007/04/12/menghayati-nilai-patriotisme/
http://sahabatmantap.wordpress.com/2007/08/22/di-manakah-semangat-patriotisme/

Sabtu, 3 Disember 2011

Kata Adjektif Dalam Lagu ( Didik Hibur )



Melalui lagu juga Kata Adjektif boleh di pelajari.Guru harus memilih lagu-lagu yang bersesuaian dengan tahap murid untuk memperkenal atau meminta murid mencari kata adjektif dalam senikata lagu yang di pilih.Nyanyian merupakan salah satu kaedah didik hibur yang mula diketengahkan melalui KSSR bermula 2011.

Kata Adjektif Dalam Permainan Bahasa


Permainan bahasa adalah salah satu teknik yang berkesan dalam proses pengajaran dan pembelajaran ( P & P ) terutama aspek tatabahasa. Justeru ,dalam memperkenalkan Kata Adjektif teka silang kata boleh di aplikasikan.Ia bukan sahaja santai malah menggembirakan murid.

Jumaat, 2 Disember 2011

Contoh Penulisan RPH KSSR Bahasa Malaysia Tahun 2

  RANCANGAN PELAJARAN HARIAN BAHASA MALAYSIA TERKINI

Mata Pelajaran dan Kelas Bahasa Malaysia Tahun 2 Bestari
Tema/Tajuk Kebudayaan - Makanan Kita
Masa 7.30 – 8.30 pagi

Standard Pembelajaran 1.4.4 / Literasi 3.2

Objektif Pembelajaran Pada akhir pengajaran dan pembelajaran, murid dapat;
i. Bertutur untuk menyatakan permintaan dengan betul.
ii. Bertutur untuk menyatakan permintaan dengan intonasi yang betul secara bertatasusila.
iii. Literasi;
Menyebut dan memadankan frasa yang mengandungi suku kata terbuka dan suku kata tertutup dengan gambar.

Aktiviti 1. Menuturkan ayat-ayat permintaan yang telah didengar daripada dialog.
2. Main peranan sebagai penjual dan pembeli. (Keusahawanan)
3. Berbincang tentang cara yang betul membina ayat permintaan berdasarkan situasi dan menuturkannya semula.
4. Menulis ayat permintaan berdasarkan gambar, slaid powerpoint atau situasi pada komputer, papan tulis atau lembaran kerja.

Aktiviti Literasi
1. Menyebut frasa menunjukkan permintaan dengan bimbingan guru.
2. Memadankan frasa menunjukkan permintaan dengan gambar yang sesuai.

EMK Nilai Murni – berbudi bahasa, jujur

Keusahawanan – sikap dan pemikiran keusahawanan

TMK – belajar melalui TMK

Bahan Bantu Belajar Radio/komputer, slaid powerpoint gambar-gambar tunggal, kad gambar, lembaran kerja

Penilaian Pengajaran dan Pembelajaran Murid menuturkan ayat-ayat permintaan berdasarkan gambar situasi atau slaid powerpoint yang dipaparkan.

Refleksi 30 orang daripada 36 orang murid telah mencapai objektif P&P.
Murid yang belum menguasai akan diberi bimbingan.
Murid yang telah menguasai akan diberi latihan pengayaan.

Kaedah Mengajar Kata Adjektif Warna

                        

Paparan video ini di ambil dari Youtube.Ianya sesuai untuk membantu guru mengajar Kata Adjektif berkaitan warna.